˄

SOALAN-SOALAN LAZIM

PEMERIKSAAN KANSER PAYUDARA



Jika saya tidak memenuhi kriteria untuk program pemeriksaan kanser payudara, adakah saya masih boleh menyertai program pemeriksaan yang lain?

Jika dayang tidak memenuhi kriteria kelayakan untuk program pemeriksaan kanser payudara, dayang masih boleh menyertai program-program pemeriksaan yang lain seperti program pemeriksaan faktor risiko penyakit kardiovaskular, program pemeriksaan kanser kolorektal dan program pemeriksaan kanser serviks jika awda memenuhi syarat kelayakan bagi program-program pemeriksaan tersebut.

Nota: Bagi pemeriksaan kanser payudara, had umur adalah 69 tahun kecuali jika dibenarkan berdasarkan penilaian klinikal.


Apa yang perlu saya buat sebagai persediaan untuk pemeriksaan kanser payudara (mamogram)?

Dayang akan dirujuk oleh jururawat dari Klinik Kesihatan Wanita ke Jabatan Radiologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk menjalani pemeriksaan mamogram. Tarikh perjanjian pemeriksaan mamogram dayang akan diberi melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS). Dayang disarankan untuk memakai kain atau seluar panjang pada hari pemeriksaan dan elakkan dari memakai bedak atau deodoran.


Apa yang akan berlaku semasa pemeriksaan mamogram?

Mamogram adalah sejenis x-ray yang akan mengambil gambar payudara dayang. Pemeriksaan ini akan dilakukan oleh seorang juru x-ray wanita. Dayang akan diminta untuk menanggalkan pakaian dari paras pinggang ke atas. Kemudian mamogram akan dilakukan dengan meletakkan satu payudara pada satu masa di antara dua plat. Keseluruhan prosedur akan mengambil masa sekitar 30 minit.


Apakah risiko kesihatan dari pemeriksaan mamogram?

Semasa pemeriksaan, mesin mamogram akan menekan payudara dayang selama beberapa saat dan ini mungkin akan menyebabkan ketidakselesaan. Mamogram adalah sejenis x-ray dan disebabkan itu ia akan mengeluarkan sedikit radiasi yang tidak mungkin akan menyebabkan kemudaratan. Akan tetapi, mamogram boleh terlepas antara 10 ke 20% kanser payudara.


Bagaimanakah saya akan mengetahui keputusan mamogram saya?

Keputusan mamogram dayang bolehlah diambil dari kaunter Klinik Kesihatan Wanita 4 minggu selepas menghadiri pemeriksaan mamogram dayang.

Jika mamogram dayang adalah normal, dayang akan dijemput semula bagi pemeriksaan mamogram dalam tempoh 3 tahun akan datang.

Jika mamogram dayang kelihatan tidak jelas atau tidak normal, dayang akan dihubungi terus oleh Jabatan Radiologi di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi ujian lanjut.