˄

01-Mar-2020:Semangat perpaduan terserlah


http://www.ppkk.gov.bn/PublishingImages/News/HM%20National%20Day.jpg

Semangat perpaduan terserlah

Oleh Sim Y. H. dan Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Semangat perpaduan segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terus menyerlah, menceriakan dan memeriahkan lagi suasana sekitar Bandar Seri Begawan apabila ribuan peminat dan penggemar sukan berbasikal, berkumpul dari awal pagi lagi untuk sama-sama memanifestasikan rasa cinta kepada raja dan negara dengan menyertai Acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat bercemar duli menyertai acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka
Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min.

Keberangkatan Baginda serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Daud; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussien; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan SukanYang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Cuaca pada awal pagi yang cerah bagai membakar semangat para peserta untuk sama-sama menyertai acara yang menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi dengan hasrat membentuk budaya sukan dan memantapkan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh ke arah mewujudkan warga sihat. Acara dimulakan apabila Baginda Sultan berkenan menekan punat pelancaran dan seterusnya dijunjung bagi menandatangani bingkai baju khas sempena Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020 dengan diiringi persembahan koir dan muzik daripada pancaragam kadet.

Baginda Sultan berkenan mengetuai upacara pelepasan riadah berbasikal sebaik sahaja hon dibunyikan, mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 11.5 kilometer dan melalui jalan-jalan utama antaranya Jalan Pretty, Jalan Elizabeth 2, Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Gadong, Jalan Perdana Menteri, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 36 orang pekayuh basikal dari keempat-empat daerah yang berjaya mengelilingi jarak 36 kilometer yang berlepas pada pukul 6:30 pagi serta diiringi dengan persembahan padang oleh para pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).

Baginda Sultan kemudian berkenan untuk menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

Selain riadah berbasikal, Baginda Sultan berkenan menyaksikan secara lebih dekat lagi kemeriahan program Bandarku Ceria yang terdapat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di mana pelbagai jenis aktiviti dan pameran yang disediakan daripada 13 buah kementerian, persatuan-persatuan sukan kebangsaan, PKBN, Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA 2019 Filipina dan juga agensi-agensi swasta seperti permainan interaktif literasi kewangan, Bike Balancing Challenge, Workout Challenge dan Mini Obstacle Race, aplikasi Tyran Maton yang merupakan aplikasi mengatasi kes buli, aktiviti Cup Stacker, Goal Ball dan Flying Disc, Program Pemeriksaan Kesihatan, Ketahui Usus Anda dan Pameran COVID-19, Aktiviti Bijak Jawi, Pameran Food Safety dan Brunei GAP (Industri Tanaman), Pameran dan Kuiz Biodiversiti dan Kepentingan Hutan; Pameran Poni Divers, Promosi Pertandingan Anugerah ICT Brunei dan produk-produk inovatif ICT tempatan sebagai komponen revolusi industri 4.0, Aktiviti Safety Health Environment National Authority (SHENA), permainan kikik, Frisbee Showcase Game; Parkour Showcase, Pameran Fotografi Brunei Press, aktiviti seni suara burung, permainan paintball dan archery dan sebagainya.

Acara riadah berbasikal itu merupakan satu acara yang amat baik kerana ia mampu untuk menarik penyertaan segenap lapisan rakyat dan penduduk negara tanpa mengenal usia untuk sama-sama beriadah bersama keluarga dan mengamalkan gaya hidup sihat menerusi pelbagai jenis kegiatan serta aktiviti yang disediakan untuk seisi keluarga.

Acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020 merupakan acara yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan,Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi serta Kementerian Kesihatan dan penglibatan semua kementerian yang lain dan juga Persekutuan Basikal Brunei Darussalam di mana kejayaannya setentunya lebih bermakna dengan penglibatan aktif daripada semua pihak melalui pendekatan seluruh negara daripada segenap lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan atau NGOs dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dalam menjayakan riadah berbasikal itu.

Source: Media Permata

https://mediapermata.com.bn/semangat-perpaduan-terserlah/



Attachments
Close