˄

SOALAN-SOALAN LAZIM




Apakah Pemeriksaan Saringan Kesihatan?

Pemeriksaan saringan membolehkan awda untuk mengetahui sama ada awda mempunyai penyakit atau kondisi tertentu walaupun awda tidak ada mempunyai sebarang gejala atau tanda-tanda penyakit. Pengesanan awal bermakna awda boleh mendapatkan rawatan awal bagi penyakit itu dan membolehkan awda untuk mencapai kawalan penyakit yang lebih bagus. Ini akan dapat mengelakkan awda dari menjalani sebarang pembedahan atau prosedur besar yang mempunyai komplikasi yang tersendiri.


Apakah Program Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (PPKK)?

Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan adalah program pemeriksaan saringan kesihatan senegara anjuran Kementerian Kesihatan dan ditawarkan kepada warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darusalam yang termasuk di dalam kumpulan umur yang berisiko bagi faktor risiko penyakit kardiovaskular dan kanser seperti kanser kolorektal dan kanser payudara, berdasarkan cadangan saintifik.


Saya tidak layak untuk mengikuti program pemeriksaan ini (contoh: Warganegara Brunei berusia 35 tahun atau seorang ekspatriat) tetapi masih ingin membuat pemeriksaan kesihatan?

Awda disarankan untuk berjumpa doktor (Kesihatan Asasi) bagi mendapatkan konsultasi dan nasihat yang berpatutan.


Apakah risiko yang berkaitan dengan pemeriksaan kesihatan ini?

Tiada pemeriksaan kesihatan yang dapat mengesan ke semua penyakit dengan tepat 100%. Masih ada kemungkinan pemeriksaan ini tidak dapat mengesan penyakit dan keputusan menunjukkan negatif palsu. Keputusan negatif palsu bermaksud keputusan pemeriksaan adalah normal tetapi sebenarnya awda menghidapi penyakit. Ada juga kemungkinan pemeriksaan boleh memberikan keputusan positif palsu. Keputusan positif palsu bermaksud keputusan ujian adalah tidak normal, tetapi sebenarnya awda tidak mempunyai penyakit. Ini boleh menyebabkan awda mendapat ujian pemeriksaan yang tidak diperlukan, dan setiap ujian pemeriksaan memiliki risiko atau komplikasi yang tersendiri.


Bagaimanakah caranya untuk saya menyertai program ini?

  • Untuk program pemeriksaan faktor risiko kardiovaskular atau program pemeriksaan kanser kolorektal:

  • Individu yang berminat dan memenuhi syarat bagi menyertai program di atas, boleh mengisi borang pendaftaran yang disediakan di pusat-pusat kesihatan atau boleh dimuat turun dari laman sesawang PPKK. Borang yang telah diisikan bolehlah dimasukkan ke tray/kotak yang telah disediakan di pusat kesihatan kawasan awda. Awda juga boleh mengemel borang awda ke health.screening@moh.gov.bn

    Cara lain awda boleh mendaftar adalah dengan mendaftar secara langsung di laman sesawang PPKK dan log masuk menggunakan akaun eDarussalam.

    Jika awda layak, tarikh dan masa perjanjian akan diberikan kepada awda di pusat kesihatan kawasan tadahan awda. Sila ambil maklum jika awda tidak mempunyai nombor BRUHIM, awda perlu mendaftar terlebih dahulu.

  • Bagi Program Pemeriksaan Kanser Payudara and Kanser Serviks:

  • Wanita yang berminat dan layak untuk menyertai program pemeriksaan di atas, boleh melawat dan mendaftar di Klinik Kesihatan Wanita yang berhampiran.
    Bagi Program Pemeriksaan Kanser Serviks, jika dayang di bawah umur 38 tahun, dayang hendaklah mendaftar di Klinik Kesihatan yang berhampiran.


    Bolehkah saya menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat kesihatan lain selain daripada pusat kesihatan kawasan tadahan saya?

    Awda adalah disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan ini di pusat kesihatan mengikut kawasan tadahan masing-masing. Ini adalah untuk memastikan perlaksanaan program berjalan dengan lancar kerana setiap pusat kesihatan telahpun ditetapkan untuk menampung penduduk-penduduk kawasan tadahan masing-masing.


    Adakah saya perlu membayar untuk mengikuti program saringan kesihatan ini?

    Awda hanya perlu membuat pembayaran pendaftaran $1 apabila awda menghadiri perjanjian di klinik awda serta pembayaran lain mengikut Skim Pembayaran Kementerian Kesihatan.