˄

SOALAN-SOALAN LAZIM

PEMERIKSAAN FAKTOR RISIKO PENYAKIT KARDIOVASKULAR


Adakah saya layak untuk mengikuti Program Pemeriksaan Faktor Risiko Penyakit Kardiovaskular sekiranya saya sudah didapati menghidap kencing manis / tekanan darah tinggi / tinggi kolesterol?

Sekiranya awda menghidap kencing manis/ tekanan darah tinggi/ tinggi kolesterol dan awda mempunyai penjanjian di pusat kesihatan atau hospital, awda tidak memenuhi syarat untuk mengikuti program pemeriksaan ini. Bagi awda yang mengalami kondisi yang telah disebutkan di atas, awda adalah disarankan untuk menghadiri perjanjian doktor seperti biasa bagi konsultasi dan pemantauan ujian darah awda.


Jika saya tidak memenuhi kriteria untuk program pemeriksaan faktor risiko penyakit kardiovaskular, adakah saya boleh menyertai program pemeriksaan yang lain?

Jika awda tidak memenuhi kriteria kelayakan untuk program pemeriksaan faktor risiko penyakit kardiovaskular, awda masih boleh menyertai program-program pemeriksaan yang lain seperti program pemeriksaan kanser kolorektal, program pemeriksaan kanser payudara dan program pemeriksaan kanser serviks jika awda memenuhi syarat kelayakan bagi program-program pemeriksaan tersebut.


Apa yang perlu saya buat untuk pemeriksaan faktor risiko penyakit kardiovaskular?

Bagi program pemeriksaan ini awda perlu menjawab beberapa soalan berkaitan dengan kesihatan, mengambil ukuran berat badan, ketinggian, tekanan darah, pinggang dan menjalani ujian darah. Bagi ujian darah, awda perlu berpuasa (tidak boleh makan atau minum selain air kosong) selama 12 jam sebelum mengambil darah. Awda boleh mengambil ubat awda seperti biasa.


Bagaimanakah saya boleh mengetahui keputusan ujian saya bagi Pemeriksaan Faktor Risiko Penyakit Kardiovaskular?

Keputusan ujian awda akan diterangkan oleh jururawat pemeriksaan kesihatan semasa perjanjian susulan awda.

1. Jika semua keputusan pemeriksaan awda adalah normal, awda akan dijemput lagi untuk pemeriksaan faktor risiko penyakit kardiovaskular dalam tempoh 3 tahun akan datang.

2. Jika hasil keputusan pemeriksaan awda tidak normal, awda akan dijemput untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun atau dirujuk kepada doktor di pusat kesihatan yang berhampiran awda untuk penilaian dan pengurusan lanjut.

Sekiranya awda juga menyertai Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal, keputusan ujian najis (FIT) awda juga akan diterangkan.